Skip to main content
EkonomiHomeViral

6 Persatuan Bantah Pelaksanaan Lesen Baharu Jual Rokok

By 20 Januari 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Enam persatuan kebangsaan utama hari ini mengumumkan bantahan mereka terhadap cadangan pelaksanaan lesen pengedaran tembakau dan keluaran tembakau.

Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) berkata mereka yang mewakili lebih 180,000 peruncit ingin memberikan petisyen bersama agar kerajaan mengkaji kembali pelaksanaan cadangan itu.

“Walaupun Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan belum dibuat mengenai perkara itu, MSCSPGA mengemukakan petisyen memandangkan penguatkuasaan berkenaan akan memberi kesan kepada banyak perniagaan di negara ini.

“Selain itu, kami juga menyuarakan kebimbangan mengenai cadangan itu memandangkan keperluan pelesenan yang dicadangkan itu tidak termasuk peruncit di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, persatuan turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap permohonan lesen yang dilihat akan membebankan peruncit.

Jelas kenyataan itu lagi, kewujudan lembaga dan agensi baru di bawah kementerian yang akan bertanggungjawab mengeluarkan lesen itu hanya akan bergerak di negeri tertentu.

“Ini mungkin memerlukan peruncit membuat perjalanan jauh ke negeri jiran untuk memohon lesen, kata MSCSPGA.

Enam persatuan kebangsaan itu terdiri daripada MSCSPGA, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, Persatuan Pemilik Restoran Islam Malaysia, Persekutuan Persatuan Saudagar Barangan Runcit Malaysia, Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia dan Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda