Skip to main content
HomeViral

Suhu Tinggi Memberi Kesan Negatif Kepada Hidupan Laut

By 23 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde (Putrajaya) / Foto: Aziz AS

PUTRAJAYA, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Suhu tinggi yang melanda negara ketika ini memberi kesan kepada pelbagai pihak, termasuk industri mahu pun individu. Turut terkesan, kehidupan laut.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata terumbu karang terkesan oleh peningkatan suhu laut secara mendadak kerana ia merupakan sebahagian daripada ekosistem marin yang amat sensitif kepada perubahan persekitaran.

Ini dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi dalam satu kenyataan yang dikeluar semalam.

Peningkatan suhu mendadak sebanyak minima 2º Celcius bagi tempoh sekurang-kurangnya empat minggu boleh menyebabkan tekanan dan seterusnya mengakibatkan kelunturan karang. Ini pernah dikesan berlaku di perairan negara pada 1998 dan 2010.

 

JPEG Image (13439632)

Foto: Aziz AS

 

Sehubungan itu, sebagai langkah memelihara, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) telah menjalankan program pemantauan sejak 2007 untuk memantau pelestarian ekosistem terumbu karang, terutama di taman laut dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Reef Check Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, status pertumbuhan terumbu karang di perairan Malaysia pada masa kini hampir pulih seperti sediakala. Hasil pemantauan selama lapan tahun mendapati peratus litupan karang hidup meningkat hampir kepada tahap sebelum berlaku fenomena kelunturan pada 2009 sebanyak 49.96 peratus berbanding 48.33 peratus pada 2013.

Di samping itu, JTLM juga telah memasang alat pencatat parameter fizikal air laut, termasuk suhu permukaan, iaitu Intergrated Coral Reef Monitoring System (ICOMS) sejak 2013 di Taman Laut Pulau Payar, Kedah dan Taman Laut Pulau Tioman, Pahang.

Dalam pada itu, sejak 2015 jabatan juga telah memasang peralatan untuk mencatat parameter fizikal air laut, termasuk suhu permukaan dan intensiti cahaya setiap 30 minit di beberapa lokasi strategik di semua perairan Taman Laut. Data suhu yang direkodkan adalah sama dengan data suhu yang diterima daripada National Oceanic and Atmospheric Administration United States of America (NOAA).

Berdasarkan pemantauan JTLM yang disahkan oleh pihak NOAA, tiada berlaku perubahan signifikan terhadap suhu di perairan Taman Laut di Malaysia dan tiada amaran berjaga-jaga dikeluarkan oleh mereka.

Dalam jangka masa terdekat juga JTLM akan mengadakan satu mesyuarat teknikal pemantauan terumbu karang yang melibatkan pakar terumbu karang Malaysia serta organisasi bukan kerajaan yang aktif dan arif dalam isu ini bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada orang ramai.

Sekiranya berlaku perubahan suhu signifikan, iaitu antara 1º Celcius hingga 2º Celcius,  JTLM akan mengadakan Mesyuarat Penasihat Teknikal Kelunturan Karang Kebangsaan dan Jawatankuasa Tindakan Kelunturan Karang Kebangsaan untuk menyelaras tindakan yang perlu. Ini termasuk kawalan aktiviti rekreasi marin, menyelaraskan hebahan maklumat kepada orang ramai, terutama pelancong, selain mengesahkan ketepatan maklumat, memantau aduan serta memastikan pemantauan berterusan terumbu karang dan meningkatkan kekerapan pemantauan dan pelaporan.

 

Tinggalkan komen anda