Skip to main content
Home

Balai Polis, Bomba Baharu di Putatan – Musa

By 16 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 Oleh Muhammad Khairul Azad Yunus & Saiful Rahman Sabri (Sabah)

PUTATAN, 16 Jun (Malaysiaktif) –? Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan permintaan untuk membina balai polis dan balai bomba baharu di Putatan.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, beliau akan cuba mempertimbangkan permintaan tersebut memandangkan status Putatan sebagai daerah penuh kini mengalami pembangunan pesat di samping pertambahan penduduk saban tahun.

Katanya, inilah budaya UMNO yang akan saling membantu antara satu sama lain apabila melibatkan kepentingan rakyat.

Budaya bantu-membantu katanya bukan sahaja terhad dalam UMNO malah turut diamalkan dalam kalangan Parti Komponen Barisan Nasional lain dan penting untuk dikekalkan.

“Jangan kita  terpedaya dengan anasir-anasir yang ingin melihat keruntuhkan perpaduan yang terjalin antara kita dan rakyat selama ini,” tegasnya pada Majlis Berbuka Puasa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Zon Dua, di sini petang semalam.

Musa turut memaklumkan bahawa menerusi Majlis itu UMNO Sabah akan terus menjelajah ke seluruh negeri  mengikut zon yang telah ditetapkan bagi memberi kegembiraan, beramah – mesra dan mengetahui masalah yang dihadapi rakyat di kawasan terlibat.

“Inilah cara UMNO memastikan keharmonian beragama dan berbudaya menjadi amalan kerana majlis seperti ini turut dimeriahkan oleh rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam,” tambahnya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Seri Yahya Hussin dalam ucapannya memohon agar didirikan Balai Polis dan Balai Bomba baharu di Putatan.

“Kita memohon Kerajaan Negeri untuk memperuntukkan mana-mana tanah kosong di daerah ini untuk didirikan Balai Polis dan Balai Bomba baharu.

“Nisbah bilangan anggota polis yang kecil berbanding jumlah penduduk Putatan yang kian meningkat menjadikan keperluan pembinaan kedua-dua kemudahan itu terutamanya balai polis baharu,” ujarnya pada majlis yang diadakan di Masjid Daerah Putatan.

 

musaduit

 

Yahya juga mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih kepada Musa kerana selama ini telah memberi perhatian kepada permintaan-permintaan UMNO Bahagian Putatan dan Ahli Parlimen Putatan sehingga menerima pelbagai kemudahan pembangunan seperti masjid dan sekolah agama.

Pada majlis berkenaan, Musa juga menyampaikan sumbangan Pusat Zakat Sabah dan Baitulmal Sabah kepada golongan fakir miskin, mualaf, warga tua dan anak yatim Daerah Putatan serta sekitarnya di samping bantuan peralatan masjid kepada seluruh masjid daerah Putatan.

Turut disampaikan, bayaran elaun sara hidup  kepada 1,140 orang nelayan meliputi Zon Putatan, Penampang, Sepanggar dan Pulau Gaya serta bayaran pampasan Sabah Oil And Gas Terminal (SOGT) sebanyak RM7 juta kepada Persatuan Nelayan Papar,K ota Kinabalu dan Kuala Penyu.

SF

Tinggalkan komen anda