Skip to main content
Home

Kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2016

By 31 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh Dila Khamde

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 14 ribu peserta mewakili 300 kumpulan, haiwan serta aset telah mewarnai Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.

Kemeriahan berganda turut dirasai apabila ribuan rakyat Malaysia hadir sama untuk menyaksikan persembahan. Turut menjadi perhatian, rekaan pakaian menarik mereka yang hadir memeriahkan acara ini.

Bagi Ahmad Najmi yang ditemui pagi tadi, idea untuk reka baju jalur gemilang datang daripada isterinya. Menurut isterinya, “Anak-anak saya minta untuk buat baju bendera untuk mereka. Saya fikir, lebih baik buat untuk satu keluarga.

IMG_20160831_105703

Ahmad Najmi bersama keluarga

“Tujuan saya adalah untuk menunjukkan semangat kemerdekaan yang dahulu negara kita telah capai melalui baju yang dihasilkan ini.”

Tambahnya, dia menggunakan kira-kira 25 helai bendera dengan kos berjumlah lebih RM500 kesemuanya.

“Saya dan suami tidak berkira tentang duit dalam hal ini sebab kita nak tunjukkan kepada anak-anak semangat kemerdekaan, itu yang penting.”

Manakala bagi ibu kepada empat orang anak, Nurul Eliza, idea untuk memakai baju jalur gemilang adalah daripada diri sendiri dan suami.

“Memang dari tahun lepas kami memakai baju seperti ini. Sepatutnya nak hantar kepada tukang jahit tetapi ditolak. Oleh itu, saya terpaksa menjahit sendiri,” ujarnya.

IMG_20160831_111128_HDR

Nurul Eliza bersama keluarga

Tambahnya,, “Rekaan dibuat mengikut cita rasa anak-anak yang pelbagai termasuk stail ala superhero, konsep baju Melayu dan pakaian tradisi Cina.

“Kami mendapat sumber inspirasi dengan datang ke Dataran setiap tahun dan melihat rekaan pakaian orang lain.

“Saya menggunakan dua bendera besar dan dua sederhana untuk membuat empat pasang baju anak-anak yang baru disiapkan semalam”.

Manakala Jessie Jubile dan temannya Atikah Puteri yang berasal dari Shah Alam memilih untuk memakai baju harimau Malaya.

Mereka begitu teruja ke Dataran Merdeka buat kali pertama untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Kami tiba di sini seawal 7.00 pagi. Jalan sesak jadi kami terpaksa naik kereta api. Ini merupakan kali pertama kami ke dataran sebab nak tengok secara langsung berbanding pada kebiasaannya lihat di kaca televisyen. Pengalaman yang paling seronok apabila dapat melihat jet pejuang,” ujar Jessie.

Jessie, Atikah dan rakan

Jessie, Atikah dan rakan

Sementara itu, Wan Muhammad Adib Aish, 6, kelihatan memakai pakaian menyerupai tentera. Bapanya, Encik Fadzil yang berasal dari Cheras berkata, “Anak saya Aish ni ada adik yang bercita-cita nak menjadi kapten juruterbang, dia berada di kampung bersama isteri saya yang hendak bersalin. Oleh sebab dia nak datang juga, saya bawa datang naik motor. Sedih tak dapat bawa adik bersama. Nanti abang cerita la dengan adik dia.”

“Kemerdekaan bagi saya amat bermakna kepada semua orang terutama di negara yang berbilang kaum ini kerana jika negara kita tak merdeka, kita tak akan jadi macam ni sekarang. Sambutan yang begitu meriah disambut bersama. Saya asuh dan tanamkan semangat dalam anak saya semangat patriotisme supaya pada masa akan datang dia akan bawa bersama cucu-cicit yang lain,” ujarnya lagi.

Adik Wan Muhammad Adib Aish bersama bapanya

Adik Wan Muhammad Adib Aish bersama bapanya

Dalam pada itu Aktivis Sehatisejiwa, Shahir Fakrir, 19 dari Rawang berkata, “Tahun ini merupakan kali pertama saya membabitkan diri sebagai sukarelawan. Sebab tak buat apa-apa, jadi saya ikut serta.

“Perasaan saya seronok dan penat,” katanya yang telah memberi sejumlah lebih 1000 unit belon dan bendera kepada orang ramai.

IMG_20160831_111713_HDR (1)

Aktivis Sehatisejiwa, Shahir Fakrir

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman, sambutan tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini sangat meriah.

“Saya jangkakan tidak kurang 500 ribu orang datang membanjiri Dataran Merdeka hari ini dan kita dapat rasakan geloranya semangat patriotik masyarakat Malaysia ini,” ujar beliau.

“Semangat patriotik terserlah dengan kibaran jalur gemilang, keberadaan mereka di sini serta sorakan yang diberikan dan juga persembahan yang cukup baik oleh para peserta. Saya ucapkan tahniah dan semoga kita buat yang lebih baik lagi pada tahun hadapan,” tambahnya.

Hari ini Malaysia menyambut Hari Kebangsaan 2016 dengan mengekalkan tema Sehati Sejiwa.

 

-SF

Tinggalkan komen anda