Skip to main content
HomeViral

Helikopter Nuri Terhempas: Pengetua Umum Cuti

By 4 Oktober 2016Tiada komen1 minit bacaan
Laporan Oleh Fauzrina Hj Bulka / Foto: Media Sosial Tawau

TAWAU, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Mat Noor bin Hj Sima di sini mengumumkan cuti kepada pelajar dan guru sekolah berkenaan sehingga esok berhubung kejadian sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di dewan sekolah pagi tadi.

Menurut seorang saksi yang berada di sekolah tersebut, kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul  9.15 pagi tadi membabitkan seramai sekurang-kurangnya 13 anggota tentera dan lima pelajar cedera. Mereka yang tercedera dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjutan.

895b7626-0fce-4817-a985-51c04bd31f8f

 

Menurut sumber itu yang merupakan seorang tenaga pengajar di sekolah berkenaan yang enggan namanya disebut, helikopter terbabit berada pada paras rendah sebelum melanggar bucu bumbung bangunan sekolah dan seterusnya terhempas di bahagian dewan yang dalam pembinaan hingga mengakibatkan strukturnya mengalami kerosakan teruk.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika sesi pembelajaran dan dentuman kuat kejadian tersebut mengejutkan kesemua yang berada sekolah.

3238c7c2-4a75-448d-87f3-1cd598b85858

Salah seorang pelajar yang mengalami kecederaan.

 

Sementara itu, pihak TUDM dalam satu kenyataan berkata pesawat Nuri yang membawa seramai 14 anggota itu berlepas dari pangkalan TUDM di sini pada pukul 7.35 pagi untuk latihan penerbangan harian.

Sejurus dimaklumkan, mereka telah menghantar pasukan menyelamat serta pasukan untuk membawa keluar pesawat daripada lokasi kejadian.

Pihak TUDM sedang membuat penilaian berhubung insiden tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut.

 

-AAS
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda