Skip to main content
HomeViral

Air Pasang Besar: Penduduk Lega Ban Tidak Pecah, Tetap Waspada

By 14 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Gambar hiasan (Bernama)

 

KLANG, 14 Nov — Penduduk Batu 5, Kapar, di sini sedikit lega apabila ban yang baharu ditambak tidak pecah ketika dilanda air pasang besar awal pagi tadi.

Rozita Bahar, 47, berkata walaupun ban itu dilihat kukuh, keluarganya tetap berwaspada dengan memastikan barang-barang disimpan di tempat selamat memandangkan air laut dijangka meningkat ke aras tertinggi iaitu 5.6 meter pada esok dan Rabu.

Fenomena air pasang besar diramal berlaku selama lima hari bermula hari ini.

“Pagi tadi kami sekeluarga tetap berjaga-jaga, manalah tahu ban pecah lagi. Ada sikit air melimpah tapi tak teruk….syukurlah untuk hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita, Isnin.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar, Jariah Md Salleh, 64, berkata walaupun kawasan itu belum teruk terjejas dengan fenomena air pasang besar, namun keluarganya tetap berpindah ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda.

“Semalam lagi sudah bermalam di dewan ini sebab masa dua bulan lepas yang dinaiki air teruk itu buat saya lebih berwaspada… barang-barang semua dah kemas dan dinaikkan di tempat tinggi,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam satu kenyataan memberitahu fenomena air laut pasang besar dijangka melanda pesisir pantai negeri itu dengan ketinggian paras air mencecah 5.6 meter.

Menurut kenyataan itu, dua daerah iaitu Klang dan Sabak Bernam dikategorikan sebagai Zon Merah atau kawasan berisiko tinggi dilanda banjir manakala tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang sebagai Zon Kuning, kawasan berisiko sederhana.

Ban yang pecah di kawasan Batu 5, Kapar ekoran air pasang pada bulan lepas telah menyebabkan lebih 10 rumah dinaiki air.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan fenomena air pasang besar di negeri itu setakat ini hanya membabitkan penduduk di sekitar daerah Klang dengan 144 orang dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir setakat pukul 8 pagi ini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana jabatan itu, 117 mangsa membabitkan 43 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Kapar manakala 27 mangsa membabitkan empat keluarga di Dewan Palembang, Rantau Panjang, Klang.

 

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda