KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Perkhidmatan Gas Asli Kenderaan (NGV) di 67 stesen Petronas di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor yang digantung ketika ini akan beroperasi semula secara berperingkat dalam tempoh sebulan dua lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pada masa ini perkhidmatan itu dalam proses penambahbaikan taraf prosedur keselamatan untuk memastikan ia dalam keadaan terbaik.
“Kita minta pemandu teksi bersabar kerana penambahbaikan ini adalah untuk kebaikan dan keselamatan pemandu teksi,” katanya ketika menjawab soalan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) pada sesi pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ong ingin tahu tindakan yang sedang dan akan diambil untuk membantu pemandu teksi yang kehilangan tambang akibat daripada penutupan stesen Petronas NGV di seluruh Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.
Beliau ingin mengetahui sama ada Petronas Dagangan Berhad (PDB) akan memberi pampasan kepada pemandu teksi yang kehilangan tambang sejak perkhidmatan NGV itu ditutup.