
Laporan dan foto oleh: Muhammad Ashraf Ahmad Jarkasi & Jaitripta Kaur
HULU LANGAT, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Laluan Aliran Transit Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) Fasa Kedua yang mula beroperasi sepenuhnya semalam, mendapat maklum balas positif dari penggunanya yang mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan ini secara percuma.
Projek yang berjaya disiapkan dua bulan lebih awal ini meliputi 31 buah stesen sepanjang 51 kilometer.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 30, dari Kajang berkata tanggapan pertamanya tentang projek MRT ini banyak membantu rakyat.
“Ini dapat membantu memberi manfaat kepada mereka yang menaiki pengangkutan awam. Harapan saya supaya lebih banyak stesen dapat ditambah pada masa hadapan,” ujarnya yang ditemui ketika tinjauan di stesen MRT di sekitar kawasan Hulu Langat malam tadi.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Selvi, 49, berpendapat pengangkutan MRT ini sangat pantas dan cepat.
“Ini adalah kemudahan terbaik untuk semua pengguna serta elak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Pengumuman diskaun sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini juga sangat membantu. Projek ini merupakan satu yang amat membanggakan negara kita,” katanya yang berasal dari sini.
Selain itu, seorang pengguna yang lain, juga hanya mahu dikenali sebagai Tarmizi, 42, menyatakan ini merupakan kali kedua dia mencuba MRT, kali pertamanya adalah semasa pelancaran MRT Fasa 1 dari Semantan ke Damansara.
“Diskaun yang diberikan sehingga 31 Ogos ini boleh membantu dalam mempromosikan kepada orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Ia juga membantu dari segi ekonomi menjimatkan minyak.
“Harapan saya supaya stesen ini dapat ditambah ke Semenyih, memandangkan Semenyih merupakan kawasan yang sedang pesat membangun serta agak jauh daripada pengangkutan awam sedia ada,” ujar Tarmizi lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mhd Najib Tun Abdul Razak ketika di majlis pelancaran MRT Laluan SBK, semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak merasmikan Fasa Kedua MRT Laluan SBK di Stesen Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos ini bagi tambang perkhidmatan rail Prasarana iaitu MRT, LRT dan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Yang Ke-60.
Dalam ucapannya, Najib berkata pelbagai lagi projek pengangkutan awam secara bersepadu akan dilaksanakan termasuk MRT Kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Kereta Api Pantai Timur (ECRL), LRT3 Bandar Utama-Johan Setia, projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta menaik taraf sistem monorel dan KTM.
-DZ