Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Para nelayan Daerah Kemaman kini mampu menarik nafas lega dan bersyukur apabila satu Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan( PSN) Pulau Sekepeng, Kemaman bertempat di Dataran Kuala Kemaman, di sini, semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata kebanyakan penempatan para nelayan berdekatan dengan pesisir pantai mengalami permasalahan seperti hakisan tanah apabila tiba musim tengkujuh di Pantai Timur.
“Ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk dijaga dengan baik,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek ini melibatkan pembinaan 50 unit kediaman dan dijangka siap pada April 2023.
Sementara itu, isteri kepada seorang nelayan, Zaleha Ibrahim, 55, ketika ditemui berterima kasih dan bersyukur dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam memberi keselesaan kepada golongan nelayan yang sebelum ini duduk di rumah kayu dan papan.
“Saya bersyukur kerana hasrat untuk memiliki rumah sendiri akan tercapai tidak lama lagi dan mampu memberi keselesaan kepada keluarga nelayan yang mempunyai anak yang ramai,” katanya.
Bagi Norshaliza Mamat, 35, seorang peniaga, dia rasa berbesar hati kepada kerajaan kerana begitu prihatin dengan permasalahan para nelayan saban tahun seperti ombak besar dan hakisan tanah.
Turut hadiri, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Yusoff Othman, ketua-ketua jabatan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).