Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Prinsip FASTER Penuhi Keperluan Rakyat Pasca COVID-19

By 10 Januari 2022Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)/Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI)

KUALA TERENGGANU, 10 Jan (Malaysiaaktif)– Penjawat awam diminta mengamalkan prinsip FASTER iaitu Flat, Agile, Streamline, Tech-enabled, Efficient and Resilient bagi memenuhi keperluan rakyat semasa tempoh pandemik COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Bijaya Raja, berkata rakyat memerlukan perkhidmatan yang pantas setelah beberapa bulan mereka dalam kesukaran kerana kehilangan pendapatan serta berdepan dengan krisis pengangguran dan ketika ini jabatan dan agensi kerajaan adalah tempat mereka bergantung harap dan meminta pertolongan berpaksikan kepada prinsip FASTER.

Tengku Seri Bijaya Raja ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu di sini, semalam.

Tengku Seri Bijaya Raja ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu di sini, semalam.

Katanya, jabatan dan agensi kerajaan perlu bekerja secara lebih ‘flatter’ iaitu bersifat terbuka tanpa perlu terikat dengan peraturan-peraturan yang lapuk dan terkongkong dengan pelbagai kerenah birokrasi.
“Kedua, kita perlu lebih ‘agile’, iaitu perlu lebih fleksibel dan responsif dalam pelaksanaan sistem dan proses kerja dan jangan melengah-lengahkan permohonan hanya kerana alasan prosedur dan carta alir kerja semata-mata,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 Bersama Ketua Ketua Jabatan Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu di sini, semalam.
Tambahnya, bagi fakta ketiga, setiap jabatan perlu bersifat ‘streamlined’ iaitu perlu lebih adaptif dan sensitif dengan perubahan dan keperluan semasa kerana pandemik yang masih belum berakhir memerlukan kita lebih peka dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat dan pemegang taruh.
Manakala fakta keempat ialah perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah bersifat ‘tech-enabled’ iaitu dengan memanfaatkan teknologi digital serta perubahan zaman yang dikemudi oleh Revolusi Industri 4.0 dalam penyampaian perkhidmatan awam.
Tengku Bijaya Raja berkata, setiap pelaksanaan inisiatif mesti juga dilakukan dengan ‘efficient’ iaitu cekap dalam keadaan negara masih berada dalam tempoh pemulihan ekonomi kerana kita masih tidak boleh lagi untuk melakukan banyak kesilapan kerana setiap kesilapan yang dilakukan bermakna kerugian yang terpaksa ditanggung Kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berharap F.A.S.T.E.R akan memberi impak terhadap kualiti perkhidmatan dan nilai sesebuah agensi di samping menjadi refleksi kepada imej Perkhidmatan Awam keseluruhannya.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berharap F.A.S.T.E.R akan memberi impak terhadap kualiti perkhidmatan dan nilai sesebuah agensi di samping menjadi refleksi kepada imej Perkhidmatan Awam keseluruhannya.

“Dan keenam adalah ‘resilient’ iaitu setiap penjawat awam mesti kekal teguh bersama-sama kepimpinan Perkhidmatan Awam untuk merealisasikan strategi yang digariskan kerajaan seperti inisiatif PRIHATIN dan PENJANA yang diperkenalkan oleh kerajaan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan, sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga, sentiasalah bermusyawarah dan mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang keputusan dibuat dan sentiasa berpegang kepada nilai-nilai ‘Kepercayaan untuk Berkhidmat’ yakni integriti, kebersamaan, dinamik, interaksi dan khidmat bakti sebagai asas untuk kita memastikan kelestarian Perkhidmatan Awam bertunjangkan Budaya Kelas Pertama menjelang pencapaian Wawasan Kemakmuran Bersama pada tahun 2030 kelak.
FASTER diharap akan memberi impak terhadap kualiti perkhidmatan dan nilai sesebuah agensi selain menjadi refleksi kepada imej Perkhidmatan Awam keseluruhannya.

Tengku Bijaya Raja turut menyeru kepada semua ketua jabatan untuk bersama-sama dengan beliau, membawa perkhidmatan awam Negeri Terengganu ke dimensi baharu berdasarkan kepada saranan pimpinan kerajaan yang menuntut kita berubah dari gaya lama ke gaya baharu serta manfaatkan teknologi dalam pentadbiran harian.
Beliau juga meminta penjawat awam bersikap terbuka untuk menerima kritikan kerana pada masa ini netizen mudah mengkritik pentadbiran kerajaan selain membongkarkan salah laku penjawat awam di media sosial.

“Sehubungan itu, sama-samalah kita menjaga perilaku, tatacara kerja dan sebagainya agar kita tidak diperkecilkan oleh orang awam,” katanya.

Tinggalkan komen anda