Laporan/foto: Hisham Salleh/Farhan Abdullah
PETALING JAYA, 27 Jan (MalaysiaAktif) — Satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran peserta Advanced Leadership and Management Programme (ALMP) di bawah Institut Tadbiran Awam (INTAN) telah diadakan dengan jayanya di Masjid As-Salam, Petaling Utama, semalam.
Program tersebut diadakan dengan kerjasama Majils Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi memperkasa fungsi masjid, yang bukan sahaja bertindak sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai wadah untuk menuntut ilmu, serta institusi yang mampu menjaga kebajikan masyarakat setempat.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Kursus ALMP Series 79 Bil. 1/2024, Haji Asruddin bin Haji Abas, program tersebut dilaksanakan bagi menyantuni golongan B40 di kawasan tersebut.
“Kami memilih Masjid As-Salam kerana ia berdekatan dengan pangsapuri yang didiami oleh ramai penduduk daripada golongan B40. Program ini menjadi bukti bahawa fungsi masjid itu sebenarnya sangat besar,” jelasnya.
Di antara aktiviti yang diadakan pada program tersebut adalah seperti pemeriksaan kesihatan dan kaunseling percuma, klinik rundingan kekeluargaan syariah, dan juga ceramah motivasi berkaitan keibubapaan.
-HS-